Khamis, 3 September 2009

Projek Pemasangan Kabin Untuk Aktiviti RT Bermula Oktober

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Bermula Oktober ini, kerajaan akan memasang kabin yang bakal digunakan sebagai pusat aktiviti Rukun Tetangga (RT) di seluruh negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Beliau berkata projek yang menelan belanja hampir RM20 juta itu akan dimulakan di kawasan Kuala Lumpur.

"Demi mencapai hasrat ini, saya telah membatalkan satu projek pembangunan institut kajian RT yang telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

"Saya akan berunding dengan Kementerian Kewangan bagi mengubah penggunaan wang peruntukan tersebut bukan untuk satu bangunan tetapi untuk ratusan kabin di seluruh negara," katanya kepada Bernama selepas Majlis Berbuka Puasa bersama Pemimpin-pemimpin RT Wilayah Persekutuan di sini pada hari Khamis.

Beliau berkata Kuala Lumpur akan dijadikan projek perintis dalam pembinaan kabin yang bernilai RM50,00 setiap unit itu.

"Projek pemasangan kabin ini berdasarkan konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan supaya lebih ramai rakyat dapat menikmati kemudahan tersebut," katanya.

Koh berkata kurang lima peratus daripada 4,300 unit RT mempunyai premis bagi menjalankan aktiviti ekonomi, kemasyarakatan, agama dan sebagainya.

"Kebanyakkan RT menumpang dengan persatuan penduduk dan badan bukan kerajaan (NGO). Hal ini menyebabkan kegiatan RT di sesebuah kawasan itu terhad.

"Dengan kewujudan kabin yang mengikut Sistem Binaan Berindustri (IBS) ini dapat digunakan sebagai pejabat, pusat aktiviti dan pusat rondaan pasukan sukarela," katanya.

Pada majlis itu, Koh turut menyampaikan sumbangan kepada 40 anak yatim, warga emas, orang kurang upaya dan ibu tunggal di sekitar Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan